Sejarah penubuhan Parti_Pejuang_Tanah_Air

PEJUANG ditubuhkan selepas bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, Mahathir dan anaknya, Mukhriz, Amiruddin Hamzah, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Maszlee Malik digugurkan keahlian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 28 Mei 2020.[1] Keahlian mereka digugurkan kerana duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei.[2] Pada 9 Jun, Mahathir dan enam orang yang lain mengemukakan saman terhadap Muhyiddin Yassin dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) atas keguguran keahlian mereka.[3]

Pada 12 Jun, Mahathir menyatakan secara sinis bahawa beliau akan menubuhkan parti baharu bernama Parti Apa Aku Dapat (AAD) ekoran perpecahan dalam kalangan ahli PPBM.[4]

Pada 9 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh pembatalan saman tersebut pada 8 Ogos. Pada 14 Julai, Mahathir bersama penyokongnya mengumumkan berkemungkinan akan bertanding dengan sebuah parti baharu jika terdapat Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut.[5] Pada hari Sabtu 25 Julai pula, Mahathir berujar bahawa beliau akan menubuhkan parti baharu atau menyertai parti sedia ada sekiranya keputusan mahkamah pada 8 Ogos tidak berpihak kepada beliau.[6]

Pada 7 Ogos, mahkamah telah membenarkan Muhyiddin membatalkan saman oleh Mahathir.[7] Susulan itu, Mahathir mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang akan mendokong dasar awal penubuhan PPBM pada pukul 4 petang, hari Jumaat 7 Ogos di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur.[8] Parti ini tidak terikat dengan Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).[9] Nama parti tersebut ketika itu belum diumumkan[10] namun Sinar Harian melaporkan bahawa namanya ialah Parti Bersatu Rakyat Malaysia.[11] Jawatan pengerusi parti akan disandang oleh beliau manakala jawatan presiden pula akan dipangku oleh anaknya, Mukhriz Mahathir.[12][13]

Pada 12 Ogos, nama parti tersebut diumumkan sebagai Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).[14] Begitupun, parti tersebut masih belum didaftarkan secara rasmi dengan ROS.[15][16]

Rujukan

WikiPedia: Parti_Pejuang_Tanah_Air http://www.astroawani.com/berita-politik/dr-mahath... http://www.astroawani.com/berita-politik/parti-bah... http://www.astroawani.com/berita-politik/tun-m-umu... http://www.parlimen.gov.my/ahli-dewan.html?uweb=dn... http://archive.today/2020.08.07-142740/https://www... https://www.bernama.com/bm/politik/news.php?id=186... https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/... https://www.malaysiakini.com/news/529890 https://www.malaysiakini.com/news/535705 https://www.malaysiakini.com/news/537698